rzmie's blog

Welcome to my blog, ladies and gentleman. I hope you enjoy the contents.

Google

Thursday, October 14, 2004

Selamat Berpuasa!

Ramadhan kini telah menjelang tiba. Kanak-kanak gembira tidak terkata kerana ketibaan Ramadhan pasti diikuti dengan munculnya Syawal. Ibu-ibu sibuk memikirkan persediaan bagi bersahur dan berbuka puasa. Ayah-ayah sudah mula mengira perbelanjaan sepanjang Ramadhan. Ahli Qariah tersenyum lebar melihatkan kehadiran di masjid mula bertambah. Ahli jemaah khusyu' menghayati bacaan Imam. Saf-saf tersusun lurus. Ruku' dan sujud kemas dan rapi tanda disiplin yang sentiasa diwarisi sejak zaman Muhammad s.a.w, Nabi dan Rasul terakhir yang diutuskan Allah.

Sebelum fajar menyingsing, si ibu bergegas ke dapur menyediakan juadah sahur buat keluarga tercinta. Selesai menghidang, si ibu mengejutkan suami yang tercinta dan disusuli anak-anak yang tersayang. Si anak yang liat untuk bangun di pagi hari akhirnya bangun juga setelah kedatangan ayah yang dihormati. Sekeluarga pun bangunlah bagi menunaikan sunnah Nabi bagi bersahur pada dinihari.

Tengahari datang dan matahari memancarkan cahaya yang terik dan cukup menguji keimanan seseorang Muslim. Si anak merayu kepada si ibu untuk berbuka. Si ibu dengan lembutnya meminta si anak bersabar buat seketika. Si ibu cuba melarikan pemikiran si anak dari cuba untuk berbuka. Si anak yang kelihatan akhirnya terlelap di sofa. Si ibu merasa kasihan melihat anaknya. Namun apakan daya, didikan berpuasa haruslah dimulakan sejak awal bagi membolehkan si anak membiasakan diri.

Petang menjelma. Si ibu sibuk menyediakan juadah berbuka. Si ayah baru pulang dari kerja sambil membawa pulang juadah tambahan yang dibelinya di 'Pasar Ramadhan'. Si anak ketawa gembira melihatkan lauk kegemaran dimasak oleh si ibu dan kuih kegemaran dibeli oleh si ayah.

Maghrib menjelang dan bunyi azan berkumandang di udara tanda masuknya waktu Maghrib dan berbuka puasa. Dengan pujian kepada Allah yang memberikan rezeki, sekeluarga pun menjamah hidangan yang ada di depan mata. Selesai berbuka, si ayah mengimamkan solat Maghrib berjemaah bersama keluarga.

Beberapa minit sebelum Isya' menjelma sekeluarga bersiap bagi pergi ke masjid menunaikan solat Isya' dan Terawih secara berjemaah. Si anak yang tidak mampu hanya membuat 8 rakaat. Si ayah dan si ibu meneruskan sehingga 20 rakaat. Selesai bersolat, pulanglah sekeluarga ke mahligai indah bagi meneruskan hari-hari seterusnya pada bulan Ramadhan.

Selamat menyambut ketibaan Ramadhan untuk keluarga tersayang, tunang yang tercinta, rakan-rakan yang sentiasa diingati dan semua umat Islam tak kira di mana anda berada. Semoga Ramadhan kali ini bakal membawa kerahmatan bagi kita semua. Dan semoga Ramadhan kali ini mampu mengubah diri kita semua (terutamanya diri saya) kepada yang lebih baik lagi. Sesungguhnya Ramadhan hanya hadir sekali dalam setahun. Rebutlah peluang ini bagi melaksanakan ibadah sepanjang bulan. Hiasilah lidah dengan zikir kepada Allah. Hiasilah hati dengan mengingati Allah. Tundukkan pandangan dari memandang perkara-perkara maksiat. Jagalah anggota badan dari melakukan perkara-perkara yang ditegah. Hiasilah malam hari dengan ibadah kepada Allah. Semoga dengan pemergian Ramadhan selepas ini mampu mensucikan diri saya dan saudara-saudari.

Nota : Karya di atas bagi menggambarkan aktiviti satu keluarga Islam yang menjalani ibadah berpuasa. Keluarga ini tidak ada kaitan dengan mana-mana keluarga yang berada di Malaysia baik yang hidup atau sudah mati.

Sesiapa yang ingin membuat sebarang ucapan dengan ketibaan Ramadhan boleh berbuat demikian pada ruangan yang disediakan.

update : Besides me, these are the links to other blogs that also write about Ramadhan.

Life is Great
Screenshots
The Insane Ox Speaks
Knowledge Jihad
Volume of Interactions - The Holy Month of Ramadhan
Volume of Interactions - Ramadhan Day 0
Volume of Interactions - Ramadhan Day 1

posted by - rzmie - @ 9:53 PM



holiday-mails.com

0 Comments:

Post a Comment

<< Home